
KOTA KINABALU: Lapan lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kepada 26 di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tujuh kematian membabitkan kumpulan berisiko tinggi dan sesetengahnya dilaporkan lewat berikutan bedah siasat untuk kajian dan pengesahan punca kematian.
Beliau berkata, satu kematian dicatatkan pada 3 Ogos, diikuti dua lagi (5 Ogos), empat (6 Ogos) dan satu lagi pada 8 Ogos," katanya kepada pemberita pada majlis penamaan semula Hospital Likas kepada Hospital Wanita dan Kanak Kanak Sabah di sini hari ini.
Liow berkata, dua daripada kes itu adalah dari Sabah dengan yang pertama membabitkan seorang wanita obes berumur 24 tahun yang dirawat di Hospital Ranau pada 1 Ogos, yang mengalami demam dan batuk selama empat hari.
Katanya, wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini pada 5 Ogos dan meninggal dunia pada hari yang sama.
"Satu lagi kes melibatkan lelaki berumur 74 tahun yang menghidap sakit jantung kronik yang dimasukkan ke QEH pada 3 Ogos, yang mempunyai sejarah mengalami masalah kesukaran bernafas selama sebulan dan demam selama sehari sahaja. Lelaki itu meninggal dunia pada 6 Ogos," katanya
Liow berkata, pada ketika ini terdapat sejumlah 62 kes yang sedang menerima rawatan di hospital dan 13 kes lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala lima lagi kes disyaki H1N1 turut ditempatkan di ICU bagi menunggu keputusan.
"Setakat ini di Sabah, kes H1N1 yang disahkan ialah 402 kes, dua kematian, tujuh sedang dirawat di hospital di mana seorang dalam ICU, dan tujuh lagi kes ILI, sementara menunggu pengesahan," katanya sambil menambah terdapat kanak-kanak yang terbabit tetapi tidak mempunyai butirannya.
Liow berkata, 35 buah sekolah telah ditutup di Sabah akibat wabak H1N1. - Bernama